1/19/2013

Teknologi Maya , Politik , Pilihan Raya dan Mahasiswa (Hormati Suara Pelajar)



 Assalamualaikum. Hai Stalker.




Dunia pasca teknologi maya menyaksikan bahawa tebaran maklumat yang cukup telus mampu mempengaruhi sesuatu kelompok khususnya masyarakat celik IT. Hampir keseluruhan majoriti golongan celik IT dinegara kita didominasi golongan mahasiswa. Di sini penulis ingin mengutarakan pandangan dari skop pemikiran muda mudi yang semakin celik akan politik dan kepimpinan.





Mahasiswa tidak dapat tidak pasti akan menangkap sedikit sebanyak gambaran politik bukan saja di dalam kampus malahan politik luar meski mereka cuba menjauhkan diri yang barangkali atas faktor kejumudan pemikiran , tidak ingin masuk kerana ‘kekotoran partisan’ atau kesibukan belajar.





Sebelum menghakimi sejauh mana ‘pencemaran’ politik dalam kampus atau luar yang sering dilabel politik kepartian , mahasiswa perlu mengetahui apa maksud politik itu sendiri. Politik bukan sahaja bermaksud pendominasian kuasa oleh sesuatu kelompok , malahan politik juga membawa maksud pemutusan sesuatu keputusan yang dibuat secara berkumpulan dan berkelompok. Prinsip ini tidak lari dari prinsip demokrasi yang diamalkan dinegara kita.





Memetik kata-kata Yang Berbahagia, Professor Diraja Ungku A.Aziz (1973) di dalam buku Mahasiswa Menggugat , iaitu :
“Belajar sambil mencabar, Pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang, Bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin Berpengalaman (yang pernah mencabar) dan terpelajar”.




Mahasiswa adalah pemimpin masa hadapan yang bakal menerajui bahtera negara. Seperti mana seorang pekerja baru dalam sesebuah syarikat. Pekerja itu perlu dilatih dan dibiasakan dengan suasana kerja agar dia dapat pelajari selok belok kerja ditempatnya , apa yang perlu dibuat dan bagaimana dia ingin berjaya dalam kerjanya. Begitu juga mahasiswa. Sebagai bakal pemimpin, mahasiswa perlu dilatih menjadi pemimpin yang telus , celik dan prihatin , mampu mewakili suara mahasiswa yang lain dan masyarakat dan bagaimana caranya supaya kepimpinan yang diterajuinya mampu diangkat sebagai kepimpinan yang adil dan telus.




Kita digembarkan hari ini dengan istilah ‘Listen, Listen, Listen’ yang cukup memberi kesan kepada semua pihak setelah tersebarnya sebuah video yang memaparkan perjalanan sebuah forum yang bertajuk ‘Seiringkah Mahasiswa dan Politik’ yang diadakan di Universiti Utara Malaysia. Forum yang melibatkan suasana agak tegang di antara panelnya iaitu Sharifah Zohra Jabeen dengan seorang mahasiswi UUM sendiri iaitu Saudari Bawani.




Melihat kepada perjalanan video yang dipaparkan, ia memperlihatkan bagaimana seorang mahasiswi UUM cuba memberi penghujahan beliau terhadap isu yang cuba beliau bangkitkan dan sampaikan tetapi sedikit keterlaluan apabila panelnya yang juga merupakan seorang Presiden Suara Wanita 1 Malaysia (SW1M) bertindak merampas mikrofon dan menyuruh beliau ‘LISTEN’ serta membangkitkan mengenai ‘RESPECT’. Di manakah tahap ‘Keprofesionalan’ yang ditonjolkan oleh beliau?  



Secara peribadinya, penulis sedikit kecewa dengan tindakan yang dilakukan sedemikian ke atas mahasiswi tersebut. Dan sedikit sebanyak memberi tempias kepada seluruh mahasiswa/I di Malaysia apabila dia sebagai seorang mahasiswi diperlakukan sedemikian. Suara mahasiswa/i perlu diberi perhatian apabila melibatkan isu-isu mengenai pembaharuan pendidikan dan pembangunan Negara.




Adat dalam berkongsi ilmu adalah hormat-menghormati pendapat antara satu sama lain yang perlu diperkukuhkan dalam memastikan setiap pihak dapat berfikir secara realistik seterusnya menghadamkan ulasan yang diberikan dan melantunkan pendapat dengan cara menyantuni secara terhormat. Bukannya diperbodohkan serta direndah-rendahkan atas dasar darjat pendidikan seseorang individu. Penulis tidak mahu mengulas mengenai video tersebut dan idea yang dilontarkan oleh Saudari Bawani tetapi penulis ingin berkongsi mengenai ‘Hormati Suara Pelajar’.




Peredaran masa hari ini memperlihatkan bagaimana anak muda, mahasiswa/i dan belia remaja perlu bersama-sama dalam memperbincangkan mengenai sesuatu perkara termasuk hal ehwal yang melibatkan golongan ini. Jika kita tidak membenarkan mereka untuk ikut serta dan mendengar mereka, bagaimanakah kita nak mengharapkan golongan ini bagi membantu dalam merealisasikan harapan Negara di masa hadapan.




Secara peribadinya , mahasiswa sebenarnya belum bersedia untuk terlibat secara langsung dalam bidang politik. Bukan kerana pemikiran yang belum matang atau komitmen terhadap pelajaran yang kian sibuk atau umur yang belum mencukupi untuk keluar mengundi. Akan tetapi kerana mahasiswa masih mempunyai banyak kelemahan dan kekurangan daripada pelbagai sudut antaranya kefahaman tentang sistem politik, sejarah dan sistem perundangan, ideologi dan strategi kepolitikan, kesatuan mahasiswa dan sebagainya.




Bukan itu sahaja , malahan masih ramai mahasiswa yang masih mengamalkan pemikiran dakyah ‘sentimen politk’ kepartian. Lebih-lebih lagi di dalam social seperti Facebook dan Twitter. Ini secara tidak langsung telah menyalahgunakan kemudahan yang ada malahan memburukkan definisi politik itu sendiri.




Mudahnya , solusi ringkas yang mampu dibuat adalah , sebagai mahasiswa muda yang celik dan prihatin terhadap isu pilihan raya serta mempunyai pemikiran non-partisan dan bukan politik kepartian , mahasiswa mampu menjadi satu medium telus dan bersifat intelek yang mampu menjana idealisme baru bagi membawa negara kepada pembaharuan sejajar dengan prinsip demokrasi yang telah lama diamalkan.




Medium yang dimaksudkan adalah media alternatif yang bersifat adil dan non-partisan.Kalau dahulu gerakan mahasiswa menggunakan medium risalah, artikel, pentas suara, dan suara jalanan, kini apabila dunia telah mencapai zaman pasca modenisasi teknologi maya, maka saluran yang efektif dan konkrit adalah laman sosial, forum,  debat umum , blog dan laman sesawang. Penglibatan tidak langsung ini pastinya sangat berkesan dan lebih tajam berbanding saluran lain berdasarkan pemantauan yang dilihat , mahasiswa cenderung untuk celik politik melalui teknologi maya.




Tujuan utama penggunaan media oleh mahasiswa adalah untuk memastikan maklumat yang adil dan telus kepada masyarakat. Maklumat yang disampaikan pada masyarakat ini lebih menjurus kepada manifesto calon daripada kedua-dua belah pihak dalam proses meningkatkan keprihatinan masyarakat terhadap pentingnya mengambil tahu dan hadam akan manifesto ahli dan parti politik yang bertanding, selain memberikan pencerahan dan pendidikan politik yang matang dan berkualiti kepada masyarakat.





Justeru, sebagai mahasiswa muda celik IT , pastinya kita mampu menghadam semua maklumat dihujung jari yang mudah diperolehi lalu merembes kembali secara seimbang dengan menggunakan pemikiran yang berilmiah lalu melantunkan semula kepada masyarakat dan hasilnya penglibatan secara tidak langsung dan secebis ini mampu menyumbang kepada kemajuan dan kemapanan negara khususnya melahirkan masyarakat madani dan celik ilmu.
Comments
0 Comments

0 Komentar:

Post a Comment