2/01/2013

Hikayat Isa Al-Masih


Assalamualaikum. Hai stalker. Sebenarnya entri ni hasil dari assignment aku untuk subjek yang aku amik kat sini. So , apa salahnya post kat blog. Sambil menyelam minum air. Sumber rujukan adalah dari blog berbahasa indonesia dan dari entri blog aku sendiri pada entri lepas. Agak susah nak translate sebab ayat dia putar belit. Jadi , aku ubah kepada bahasa melayu supaya pensyarah faham. Hoho. Itupun still ada frasa klasik yang tak boleh diubah. Apa-apa pun , harap boleh bagi manfaat bagi sesiapa yang belum mendalami sirah nabi Isa dari awal kelahiran, hinggalah saat dia diangkat ke langit. Insyaallah.





HIKAYAT NABI ISA AL-MASIH A.S



Mariam. Si remaja puteri, seorang gadis yang lain dari yang lain, yang kerjanya hanya beribadat dan mensucikan diri di hadapan Allah, di dalam Rumah Suci (Mihrabnya). Dia bersolat, bersujud, dan bertasbih dengan penuh ketekunan. Pada suatu hari,  Mariam sedang dia beribadat di tempatnya seperti kebiasaannya, tiba tiba datang dihadapannya seorang lelaki. Alangkah terkejut dan terperanjatnya dia, kerana selama hidupnya dan selama dia berada di tempat itu, belum pernah dia mendapat kunjungan dari seorang lelaki selain Zakaria.



Mariam cuba berpaling dan menghindarkan diri kerana pada sangkaannya , lelaki itu mungkin berniat buruk terhadap dirinya, sedang dia sendiri adalah seorang suci dan warak. Mariam berdoa kepada Allah dengan berkata: "Jauhi diri engkau dari sini dan aku berlindung kepada Tuhan atas kejahatan yang akan terjadi dan aku takut kepada Allah. " 



Orang yang tidak dikenali itu memberikan isyarat , agar Mariam bertenang dan jangan takut. Lalu orang itu berkata kepada Mariam " Aku ini pesuruh Tuhanmu dan aku memberi khabar gembira bahawa engkau akan melahirkan seorang anak lelaki yang suci." (surah Maryam ayat 19) . 


Dengan muka yang penuh kesedihan, ditambah dengan hati yang penuh hairan dan khuatir serta mulut dan lidahnya rasa terkunci , akhirnya Mariam berkiata : " Bagaimana aku akan mendapat anak sedangkan aku belum bersuami dan aku bukan orang jahat." (surah Maryam ayat 20) .


 
Mendengar jawapan itu, Malaikat Jibril (Ruhul Kudus) itupun berkata: ‘’Demikianlah halnya ; Tuhanmu telah berfirman : Perkara itu amat mudah bagiKu, supaya Kujadikan itu sebagai tanda kekuasaanKu untuk manusia dengan rahmatKu. Kejadian itu bukanlah satu hal yang tidak dapat diluluskan.’’



Selepas menjawab pertanyaan Mariam, Malaikat Jibril pun lenyaplah dari pemandangan Mariam, dan tidak diketahui ke mana perginya. Tinggallah Mariam seorang diri kehairanan memikirkan apa yang sudah dilihat dan didengarnya itu. 



Dia bertambah khuatir , dan kekhuatiran ini lain pula sifatnya dari yang sebentar tadi. Dia gusar kelak sudah pasti orang ramai akan heboh dan bising , apabila mereka mendengar bahawa Mariam menjadi hamil. Lebih-lebih lagi melahirkan anak tidak berbapa tanpa suami. Fikiran ini sangat menggusarkan perasaan Mariam, kerana ini bukanlah masalah kecil bagi seorang yang suci murni sepertinya. Badannya gementar memikirkan bagaimana cara untuk dia menempuhi ujian ini.



Dia benar benar risau dengan apa yang dikandungnya. Untuk menghindarkan apa yang akan terjadi seperti yang dikhuatirkannya itu, Mariam memutuskan untuk menjauhkan diri ke luar kota, demi mengasingkan diri di tempat yang jauh dan terpencil, yang sunyi sepi , di mana dia bermusafir ke suatu tempat jauh di desa, dimana dia tinggal seorang diri bersama hati yang sedih bercampur takut, memikirkan kejadian yang akan terjadi bila dia sudah melahirkan bayi yang dikandungnya, bayi yang tidak berbapa.



Beberapa bulan berlalu, kandungannya makin terasa mendekati waktu bersalin. Semakin dekat waktunya bersalin, semakin hebat pulalah penderitaan batin yang dideritanya, sehingga makan dan minum tidak berasa enak lagi. Makanan dimakannya berasa sekam, air diminum berasa duri.




KESEDIHAN YANG MEMUNCAK



Di dalam sebuah pondok didesa yang jauh terpencil, dia menyembunyikan diri dari pandangan orang  dan pendengaran orang ramai, agar rahsia tuhan yang berada dalam tubuhnya tidak diketahui orang, tidak terlihat oleh sepasang mata dan tidak didengar sepasang telinga pun.


 Kini waktu yang ditunggu-tunggunya itu semakin hampir. Tanda-tanda yang dia akan melahirkan seorang anak telah tiba, maka disaat itulah kesedihan  di dalam hatinya, kekhuatiran dan ketakutannya kian memuncak. 




Ketika itulah dia mengeluh sambil berkata : ‘’ Ya Allah Yang Maha Pengasih. Gerangan takdir apakah yang akan terjadi, kejadian apakah yang bakal terjadi dibalik malam yang gelap ini..’’



Mariam merasakan bahawa tika itu dia adalah manusia yang paling berat menerima dugaan kerana dia berasal dari keturunan yang baik-baik dan kuat pegangan agamannya. Bapanya seorang yang suci lagi dihormati dan ibunya juga sebegitu. Dia sendiri pun seorang yang suci serta kukuh pegangan agamanya serta dikenali ramai orang. Namun apakah itu sudah cukup untuk menjadi jaminan baginya terhadap tuduhan orang ramai? 



Apakah orang ramai tidak akan menuduhnya dengan tuduhan yang bukan-bukan terhadap dirinya, sekiranya dia melahirkan anak dengan tidak berbapa?  Dapatkah gerangan semuanya itu melenyapkan seluruh tohmahan yang bakal timbul itu? Atau dia tetap akan dituduh kerana melakukan perbuatan keji dan sumbang?  Dan mencemarkan nama baik ibu-bapa dan nenek-moyangnya yang daripada keturunan  suci murni. 




Semua itu amat berat untuk difikirkan oleh Mariam yang yang sedang mengandung dan menunggu masa untuk bersalin. Jasadnya menanggung tanggungan yang paling berat, sedang jiwanya pula sedang menanggung tanggungan yang lebih berat lagi. Dua beban berat yang harus dipikulnya sekaligus.




Tetapi seberat dan sehebat mana pun derita zahir dan batin yang dirasainya itu, sifat taqwanya kepada Allah telah mampu sedikit sebanyak membantunya dalam menanggung semua penderitaan yang dialaminya. Ya, dia akan melahirkan seorang yang amat mulia dan amat agung, maka tanggungjawab dan penderitaan yang amat berat dan hebat harus ditanggungnya demi untuk melahirkannya anak itu dengan sempurna. Baginya itu suatu tugasan baginya.



KELAHIRAN ISA AL-MASIH



Setelah dia merasakan bahawa masa untuk dia bersalin semakin hampir dia berjalan meninggalkan desa yang terpencil itu, mencari tempat yang lebih jauh dan sepi lagi. Di suatu tempat dipadang pasir, dibawah sebatang pokok kurma, dia berhenti. Di situlah dia duduk seorang diri, menanti masa dan takdir, tiada kawan , bidan atau tabib yang akan menolong dia, saat dia bakal mengharungi kesakitan atau kesulitan tika melahirkan bayi dalam kandungannya.




Saat itu, dibawah langit terbuka, ditengah lautan padang pasir yang luas, dengan tidak ditemani seorang manusia pun, selain bekalan yang bernama iman dan taqwa, tibalah saat yang ditunggu-tunggunya. Tika itu , pada tahun 622 sebelum Hijrah , seorang bayi lelaki lahirlah ke atas dunia yang luas terbuka ini, seorang bayi yang akan menjadi manusia agung dan berpengaruh besar.




Dengan perasaan terharu dengan sifat keibuan berserta cemas sedih, dipandangnya wajah anak bayinya yang baru lahir itu. Dengan keadaan tubuh yang lemah longlai selepas bersalin, fikiran dan perasaan yang semakin diliputi cemas dan khuatir, timbullah berbagai-bagai kegelisahan batin yang tidak terhingga, sehingga dia mengeluh : ‘’ Aduhai nasibku ini. Lebih baik kiranya aku mati sebelum ini, tentu aku dilupakan manusia selupa-lupanya.’’





Fikirannya bingung tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Badannya lesu dan lemah longlai segala sendi dan tulang-belulangnya, ditambah lagi dengan rasa lapar dan dahaga yang tak terperi hebatnya selepas melahirkan bayinya itu. Kemudian dia menyandarkan dirinya ke pokok kurma yang kering itu, sambil memangku anak bayinya dengan kedua tangannya yang lemas itu dengan penuh kasih sayang.




Tika matanya tertuju ke wajah bayinya, tiba-tiba Mariam mendengar suara yang jelas dan dekat, memanggilnya: ‘’ Hai Mariam, janganlah engkau terlalu berdukacita. Sesungguhnya Tuhanmu sudah mengadakan didekatmu sebuah anak sungai yang kecil dan goncangkanlah batang korma yang engkau sandari itu, nescaya akan berguguranlah buah-buahnya yang sudah masak. ‘’




Maka makanlah dan minumlah dan tenangkanlah hatimu. Lantas jika engkau ditanya seseorang, maka berkatalah kepadanya: ‘’Aku bernazar kepada Tuhan Yang Maha Pengasih, bahawa aku akan diam, tidak akan berkata-kata kepada sesiapa pun pada hari ini.’’



Setelah mendengar suara itu, Mariam melihat tanah yang berada di sisinya menjadi retak dan dari retakan itu mengalir air yang amat jernih bak anak sungai yang kecil, benar seperti yang didengarnya dari suara tadi.




Matanya lalu dialihkannya ke arah batang pokok kurma yang disandarnya itu. Di atas pohon korma itu jelas dilihatnya buah-buah kurma yang sudah masak. Dengan tangannya yang masih lemah dan tidak berdaya itu, dia cuba menggerakkan batang kurma yang keras itu. Batang kurma itu bergerak dengan kuatnya, sehingga buah-buahnya yang masak itu gugur dekat dengannya.



Dimakannya buah dan diminumnyalah air yang jernih itu. Dengan demikian hilanglah lapar dan dahaganya, badannya kembali beransur-ansur menjadi kuat dan segar kembali, fikirannya mulai menjadi tenang pula.



Sungguh besar pertolongan Tuhan terhadap Mariam. Buah kurma yang matang untuk dimakan dan air jernih untuk diminum. Tetapi cukupkah kiranya kuasa Tuhan yang maha besar ini dijadikan perisai untuk menjawab tuduhan orang nanti? Cukupkah ini untuk menutup mulut orang yang mahu menuduh? Kesedihan dan kegelisahan Mariam tidak berkurangan meski badannya sudah berasa lega mendapat makanan dan minuman yang luar biasa itu.




Matanya tidak putus-putusnya memandang wajah anaknya yang baru lahir. Pandangannya ke wajah bayinya itulah satu-satunya yang dapat menghiburkan hatinya yang duka sehingga hatinya menjadi tenang dan badannya menjadi kuat semula.




Kembalilah dia ke desa tempat dia mengasingkan diri, meninggalkan tempat dia bersalin yang sekarang ini dinamakan orang Baitullaham (Bethlehem), ertinya tempat lahir. Tika itu orang yang tidak jauh tinggal dari rumahnya itu mula mengetahui khabar kelahiran bayinya. Tak lama kemudian, khabar itupun tersiarlah dengan cepatnya ke seluruh pelusuk negeri.




 SANG BAYI BERBICARA



 
Penduduk mula datang berduyun-duyun, dari jauh dan dekat, ingin menyaksikan sendiri khabar yang luar biasa itu. Mariam dihujani dengan pertanyaan-pertanyaan. Dia tidak menjawab, hanya berkata seperti apa yang telah diwahyukan Tuhan kepadanya, bahawa dia berpuasa dan bernazar tidak akan bercakap-cakap sehari itu.



Berbagai-bagai pertanyaan orang ramai tentang Mariam dan kejadian itu. Ada yang amat hairan atas kejadian itu. Ada pula memandang kejadian itu sebagai tanda kesucian dan kebesaran Mariam. Tetapi banyak pula yang mengejek-ejek dengan pelbagai tuduhan sebagai mana yang telah dikhuatirkan Mariam sendiri. Semuanya itu didengarkan dan dibiarkannya saja dengan sabar dan tenang, sesuai dengan petunjuk Tuhan kepadanya.




Keesokan harinya, mereka pun datang pula bertanyakan ini dan itu, mengatakan apa yang terasa dalam hati dan batin mereka masing-masing. Mereka tahu bahawa nazar Maryam sudah habis waktunya. Berbagai-bagai cara dan isi pertanyaan mereka. Ada yang bertanya: Hai Mariam, sesungguhnya engkau telah membawa sesuatu yang keji!




Ada pula yang mengejek: Hai saudaranya Harun, bapamu bukanlah orang yang jahat, sedang ibumu pun bukan perempuan jalang! Dari manakah engkau perolehi anak ini?


Banyak lagi pertanyaan yang mengejek dan kasar yang dihadapkan kepada Mariam. Akhirnya Maryam berdiri mengambil anak bayinya, lalu berkata kepada mereka: Ini adalah anakku, tanyakanlah kepadanya hakikat kejadian yang sebenarnya, yang tuan-tuan tanyakan itu.




Orang ramai hairan dan tercengang mendengarkan jawapan Mariam yang tidak masuk akal itu. Mereka lalu berkata: Bagaimana kami dapat berbicara dengan bayi yang masih dalam ayunan itu?
Mendengar ejekan yang berturut-turut itu, lalu Allah memperlihatkan kekuasaanNya untuk mukjizat yang sebesar-besarnya bagi bayi yang bernama Isa al-Masih itu dikala besarnya. Di saat itulah bayi Isa a.s. yang masih kecil itu berkata dengan terang kepada orang-orang di situ: ‘’Sesungguhnya aku ini seorang hamba Allah, akan diberinya kepadaku sebuah Kitab (Injil) dan dijadikanNya aku seorang Nabi. DijadikanNya aku seorang yang berguna buat manusia dimana aku berada, diwasiatkanNya kepadaku berbuat dan mengerjakan sembahyang dan mengeluarkan zakat selama aku hidup. Dan aku berbakti kepada ibuku, tidaklah aku dijadikan Tuhan seorang yang sombong dan derhaka. Selamatlah diriku ketika aku dilahirkan dan ketika aku mati dan ketika aku kembali hidup.’’



Barulah sebahagian orang ramai itu insaf dan percaya, yakin akan kesucian Mariam, akan kebesaran dan keagungan bayi yang baru lahir itu. Khabar kesucian dan keagungan bayi itupun tersiarlah ke mana-mana, sehingga setiap orang menunggu-nunggu akan besarnya anak itu, sebagai seorang Utusan Allah (Rasul) buat mereka.Nabi Isa al-Masihi yang dipopularkan orang Kristian dengan nama Jesus Kristus itupun makin sehari makin besar juga. Di kala dia masih berupakan seorang anak yang di bawah umur, telah banyak tampak tanda-tanda kebesaran dan keluarbiasaannya.



Mesias adalah berasal dari bahasa Ibrani ‘Masyiakh’ atau ‘Al-Masih’ atau ‘Kristus’ (dalam bahasa Yunani) membawa maksud  “yang diurapi Tuhan” atau “yang dipilih Tuhan”.



Pada suatu hari, ketika Isa sedang bermain-main dengan teman-teman sebayanya, Isa dapat meneka semua apa yang disimpan dalam poket seluar dan dirumah mereka masing-masing, dengan tekaan yang tepat dan tidak salah sedikit pun.


Kadang-kadang Isa berlaku sebagai guru terhadap teman-teman sebayanya itu, mengajarkan apa-apa yang mereka itu semua tidak mengetahuinya. Semua temannya itu menurut dan patuh terhadap ajaran Isa. Masing-masing memperhatikan sebaik-baiknya setiap kata dan nasihat yang keluar dari mulut Isa.



Ketika Isa sudah berumur 12 tahun, ibunya membawa beliau meninggalkan dusun yang jauh terpencil itu, berangkat pindah ke kota Baitul Maqdis (Jerusalem). Di jalan itu banyaklah pemandangan baru yang belum pernah dilihat didesanya sendiri. Tetapi Isa tenang saja melihat pemandangan yang baru itu, tidak menarik hatinya sedikit juga seperti kebanyakan anak-anak yang seumur dengan dia. Lebih-lebih lagi ketika memasuki kota besar Jerusalem menempuh jalan-jalan besar, rumah-rumah yang besar yang menarik hati. 



Tidak satu pun yang menarik perhatian Isa, kesemuanya itu dipandangnya seperti barang-barang yang biasa saja, tidak cantik sedikit pun dalam pandangan mata dan hatinya. Inilah pula salah satu kelebihan  Isa dibanding dengan kanak-kanak lain.



Ibunya lalu pulang ke desa kembali, sedang Isa tetap tinggal dikota Baitul Maqdis, kota yang penuh dengan pendita dan tempat-tempat ibadat, sebagai pusaka dan doa Nabi Ibrahim dahulu.
Setiap hari, orang ramai berduyun-duyun datang ke gereja-gereja menerima pelajaran agama yang diberikan pendita-pendita. Isa pun turut serta orang ramai itu, mendengar pelajaran dan fatwa-fatwa itu. Bahkan inilah yang paling digemari Isa, berbanding pekerjaan dan permainan lain yang  tidak satu pun menarik hatinya dan dia tidak pernah menyertai keramaian yang sia-sia.




Tiap-tiap kata fatwa yang keluar dan mulut pendita-pendita didengarkannya dengan penuh khusyuk dan sungguh-sungguh. Berbeza dengan orang ramai yang juga turut belajar dan mendengar fatwa itu, dimana umumnya mereka itu hanya menerima dan tunduk saja terhadap semua fatwa dan kata-kata itu, akan tetapi Isa bukan hanya tunduk dan menerima mentah-mentah saja tetapi dia akan bertanya dan membantah mana yang tidak sesuai dengan pendapatnya. Isa di antara murid-murid yang pertama-pertama kali berani bertanya dan membantah, sedang murid yang lain seorang pun tidak pernah bertanya, apalagi akan membantah.




Melihat keberanian dan perbuatan Isa itu, tidak sedikit kawan-kawan dan orang ramai yang menaruh iri  hati dan marah kepadanya dan menganggap dia seorang yang pembantah dan penyangkal, tidak tunduk kepada pendita-pendita yang dihormati dan dimuliakan orang. Bahkan sudah menjadi tabiat manusia di saat itu, bahawa pendita-pendita itu adalah orang suci, orang-orang yang benar semua kata-katanya, tidak boleh dibantah atau ditanya, sebab orang yang bertanya dan membantah itu dianggap telah melanggar agama, telah engkar dan kafir layaknya.



Bukan hanya orang ramai saja yang marah kepadanya, tetapi juga pendita-pendita sendiri, kerana memang pendita-pendita itulah yang melarang orang bertanya dan membantah, serta mengajarkan bahawa sesiapa yang membantah dan bertanya itu, kerana bagi mereka itu adalah orang engkar dan musuh Tuhan.



Beratus-ratus tahun lamanya, pendita-pendita itu tidak pernah dibantah dan disoal orang, sehingga telah menjadi adat turun-temurun bagi orang banyak yang hanya mendengar, tunduk dan diam dihadapan mereka. Sebab itu, tidak hairanlah kalau hal itu dianggap orang ramai sebagai ajaran agama, ketetapan syariat yang tidak boleh dilanggar samasekali.



Isa tidak menghiraukan kemarahan orang ramai itu, tidak peduli sekalipun pendita-pendita itu sendiri sakit hati kepadanya, namun Isa tetap membantah dan bertanyakan apa-apa yang tidak terang atau yang berlawanan dengan pendiriannya.



Demikianlah halnya Isa bertahun-tahun asyik belajar, asyik bertanya dan membantah tiap-tiap fatwa yang tidak sesuai. Hingga dia lupa pada segala-galanya, kadang-kadang dia lupa makan dan minum, lupa terhadap ibunya sendiri yang sudah lama ditinggalkannya.



Dia bukan hanya tetap dalam kota Baitul Maqdis saja, tetapi juga pergi ke tempat-tempat yang jauh, didalam dan diluar kota, dimana saja ada pendita. Masing-masing pendita yang dia kenal dan dengar, sekalipun jauh tempatnya, pasti dia datangi untuk belajar dan menerima fatwanya,  serta untuk ditanya dan dibantahnya apabila perlu. Begitulah dia,  senantiasa pindah dari desa ke desa, dan kota ke kota lainnya.







MENJADI RASUL



Setelah Isa berumur 30 tahun, barulah datang kepadanya Ruhul Amin, iaitu Malaikat Jibril sebagai Utusan Allah untuk mengangkat Isa menjadi Rasul Allah, menyambung pelajaran yang pernah diajarkan Rasul-rasul yang sebelumnya dan untuk memberi khabar kepada manusia, bahawa nanti dikemudian hari ,  akan diutus Allah seorang Rasul lagi, iaitu Nabi Muhammad s.a.w.



Kepada Nabi Isa a.s. diturunkan Allah sebuah Kitab Suci Injil (Bible) yang berisi ajaran-ajaran Tuhan yang membenarkan akan Kitab-kitab Suci yang sebelumnya dan pula memberi keterangan tentang akan datangnya Kitab Suci nanti, iaitu al-Quran al-Karim, yang diturunkan kepada Rasul yang paling akhir, iaitu Muhammad s.a.w. Apa yang diterimanya itu, disampaikannya kepada manusia kaumnya. Diterangkannya bahawa dia adalah Utusan Allah, supaya semua manusia mengikutinya.




Mulailah Nabi Isa a.s. berjuang menyiarkan agama yang benar, membongkar akan kesalahan dan kesesatan pendita Yahudi yang telah jauh menyimpang dan ajaran Nabi Musa a.s. yang sebenarnya, bahkan terbukti bahawa mereka telah lupa samasekali akan semua ajaran-ajaran yang diberikan Nabi dalam Kitab Sucinya yang bernama Taurat. 



Sudah banyak pula yang tidak kenal kepada Allah lagi, hanya mementingkan harta dan kekayaan dunia semata-mata , baik rakyat biasa ataupun para penditanya sendiri. Mereka berebut pangkat pendita bukan untuk menyiarkan agama Allah, tetapi semata-mata berebut pangkat dan harta benda yang terdiri dan emas dan perak. Mereka bukan membela nasib kaum fakir miskin lagi sebagai yang diperintahkan Allah, tetapi malah merampas hak kaum fakir miskin dan orang-orang yang terlantar, bahkan merampas harta orang melarat dan mencelakakan penghidupan mereka.



Pendita-pendita turut serta mengugut dan memeras. Mereka ajarkan kepada manusia bahawa mengorbankan harta bagi kepentingan pendita, bererti mengorbankan harta bagi Allah, sehingga banyak pendita-pendita yang lebih kaya dari raja-raja. Pendita-pendita itu menutup mata samasekali terhadap nasibnya orang-orang yang fakir dan miskin, terhadap orang-orang yang terlantar, anak-anak yatim dan piatu, terhadap orang yang mendapat kecelakaan. Mereka hanya bertekun di dalam gereja-gereja untuk dipuji-puji orang ramai saja.




Agama yang diajarkan Nabi Musa, telah mereka ubah disesuaikan dengan kepentingan mereka sendiri. Banyak yang halal diharamkan dan yang haram dihalalkan. Agama yang menyerang nafsu kebendaan, mereka ubah menjadi agama yang memuji-muji kebendaan, serta melupakan Tuhan.
Rakyat, mereka anjurkan berkorban dan bersedekah untuk Rumah Suci sebanyak-banyaknya, walhal yang sebenarnya bagi kepentingan diri mereka sendiri, sedangkan yang bersedekah itu kebanyakannya orang yang fakir miskin dan orang bawahan yang susah jalan penghidupannya.



Segala rahsia itu dibongkar oleh Nabi Isa. Nabi Isa sedaya-upaya untuk mengembalikan manusia kepada agama yang benar, kepada syariat Nabi Musa yang sebenar-benarnya. Bani Israel yang telah sesat jalannya itu dianjurkan Nabi Isa agar kembali ke jalan yang benar.



NASIB PARA RASUL




Ajaran Nabi Isa berlawanan sungguh dengan kemahuan dan keinginan masyarakat umum dimasa itu. Isa melarang mereka berlazat-lazat dan bersenang-senang, serta umumnya mereka asyik dengan berbagai kemaksiatan dan kejahatan.



Diantara pendita dan orang ramai, memang ada orang yang benar-benar suci dan bersih, ingat dan selalu mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Mereka ini sajalah yang sebenarnya mengakui akan ajakan dan pelajaran yang diberikan oleh Nabi Isa. Mereka inilah yang menjadi pembela, tulang belakang Nabi Isa a.s. dan mereka inilah yang disebutkan Allah dalam al-Quran Ansarullah dan Hawariyun.




Sedang lain-lainnya, masyarakat ramai, lebih-lebih masyarakat yang kaya raya, pembesar-pembesar negeri hampir semuanya menentang akan ajakan dan ajaran Nabi Isa, bahkan menghalang dari tersiarnya pengajaran ini, sebab mereka takut akan kehilangan harta dan pangkat serta pengaruh. Nabi Isa mereka dustakan, mereka halangi dengan berbagai cara. 




Semua ini memang sudah menjadi nasib para Nabi dan Rasul Allah, sejak dari Nabi Adam a.s., sampai kepada Nabi Muhammad s.a.w., kerana Nabi-nabi dan Rasul-rasul Allah itu diutus memang untuk mengubah keadaan dan susunan masyarakat kepada siapa mereka diutus Tuhan, jadi bukan semata-mata untuk menurutkan kemahuan umat.




Nabi Isa terus-menerus mengajarkan semua yang diperintahkan Allah kepadanya, dari desa ke desa dan dari kota ke kota. Kerana begitu hebat tentangan kaumnya, maka kepada Nabi Isa diberikan Allah beberapa mukjizat yang luar biasa, agar orang ramai insaf akan kebenaran Nabi Isa sebagai orang yang diutus Allah.




Nabi Isa menggumpal sekepal tanah, lalu ditiupnya, segera tanah itu menjadi burung, terbang ke sana ke mari bersiul-siul, beranak dan berketurunan.
Ramai orang ditimpa penyakit kusta dan tidak seorang juga yang dapat menyembuhkan penyakit itu, sehingga penyakit itu terus-menerus, turun-temurun menyerang sebuah desa.
 Oleh Nabi Isa semua orang yang sakit bertahun-tahun itu dapat disembuhkan sekaligus dengan sesembuh-sembuhnya. 



Banyak pula orang yang buta sejak dilahirkan ke dunia ini pun dapat disembuhkan oleh Nabi Isa, sampai dapat melihat seterang-terangnya. Bahkan orang yang sudah mati pun, ada yang dihidupkan Nabi Isa.




Semua itu menjadi dalil dan bukti yang tidak dapat dibantah lagi, atas kenabian dan kerasulan Nabi Isa a.s. bagi orang-orang yang mahu beriman dan percaya. Tetapi bagi musuh-musuhnya, orang-orang yang ditakdirkan Tuhan untuk jadi kayu api neraka, semua kejadian itu dipandangnya sebagai sihir semata-mata, dan Nabi Isa tetap mereka tentang dan musuhi.




Nabi Isa mempunyai kawan dan pula mempunyai lawan. Dengan kawan-kawannya itulah Nabi Isa berjalan ke tempat-tempat yang jauh, menyiarkan pelajaran agama, menolong manusia sengsara. Tetapi sayang, lawannya lebih banyak daripada kawannya dan lawannya ini memusuhinya dengan sehebat-hebatnya, serta mengadakan tekanan dan rintangan seberat-beratnya.




Musuh Nabi Isa bukan saja orang ramai yang telah dihinggapi penyakit kekafiran, tetapi banyak dari pembesar-pembesar negeri yang takut kehilangan pangkat, banyak pendita-pendita yang takut kehilangan pengaruh.



Setelah pendita-pendita sesat itu merasa bahawa Nabi Isa tidak dapat mereka kalahkan dengan debat dan kata-kata, mereka berusaha mencari jalan lain. Pembesar-pembesar negeri sejak dari raja, sampai kepada pembesar-pembesar bawahannya, mereka hasut untuk menyingkirkan Nabi Isa dan masyarakat, dengan tuduhan mengganggu ketenteraman, melenyapkan keamanan negeri dan akan merebut kekuasaan pemerintah.



Pada suatu hari, Isa dan sahabat-sahabatnya itu tiba disuatu daerah padang pasir yang tandus dan kering, jauh dari desa dan kampung, tidak ada manusia dan rumah, sedang bekalan air dan makanan sudah habis sama sekali. Padang pasir yang tandus itu tidak mempunyai tempat untuk berlindung, sedang matahari bersinar terik.




Mereka diserang haus dan lapar yang hebat sekali. Mereka kemudiannya duduk berunding, bertukar fikiran, jalan mana yang harus ditempuh untuk keluar dari daerah kering itu, dimana kiranya dan bagaimana caranya mendapat sedikit air untuk dapat mempertahankan hidup mereka. Keadaan mereka bertambah sulit lagi, kerana disaat itu pulalah musuh-musuh mereka telah mengepung dan menunggu-nunggu kedatangan mereka untuk dihancurkannya.



Dalam keadaan yang sulit dan rumit itulah Nabi Isa menuangkan pengajaran-pengajaran yang sangat dalam kepada para pengikutnya itu, meresapkan ke dalam jiwa mereka hakikat perjuangan hidup di dunia menjelang mati, merasakan erti hidup yang sebenarnya. Sesungguhnya para sahabat dan Hawariyun itu telah teguh imannya, sudah tidak syak lagi dan ragu-ragu lagi akan kebenaran Nabi Isa dan kerasulannya, tunduk dan patuh menjalankan nasihat dan perintah Nabi Isa, namun mereka masih ingin mendapatkan bukti-bukti dan tanda-tanda yang lebih nyata, semata-mata untuk menambah ketebalan dalam keimanan mereka. Tambah lagi sekarang ini benar-benar mereka sedang dalam kesulitan menghadapi musuh dan bahaya lapar yang tidak terhingga.
Mereka lalu berkata kepada Isa: ‘’Ya, Isa anak Mariam! Kuasakah Tuhan menurunkan makanan dari langit untuk kami?’’



Dengan keterangan, bahawa mereka hanya ingin tahu saja, bukanlah kerana kurang percaya dan kurang iman. Permintaan yang demikian pernah pula dikemukakan oleh pengikut Nabi Ibrahim dahulu. Terhadap permintaan sahabat-sahabatnya itu, Nabi Isa menasihatkan agar mereka jangan hendaknya menuntut mukjizat-mukjizat kerana tuntutan itu mungkin menjadi fitnah terhadap keimanan mereka sendiri.





Nabi Isa memperingatkan mereka sekali lagi kepada mukjizat-mukjizat yang banyak sekali, yang sudah diperlihatkan Nabi Isa kepada mereka. Mendengar keterangan Nabi Isa itu, mereka lalu berkata: ‘’Kami menghendaki yang demikian itu, supaya dapatlah kami memakan makanan yang kami katakan itu dan supaya tetap teguh kepercayaan dalam hati kami, sedang kami mengakui sebenar-benarnya, bahawa engkau orang yang benar, sehingga kami menjadi saksi atas yang demikian itu.’’




Setelah mendengar perkataan mereka itu, Nabi Isa lalu berdoa kepada Tuhan: ‘’Ya Allah, Tuhan kami, turunkanlah makanan dan langit untuk menjadi perayaan besar (hariraya) bagi kami dan orang-orang yang sesudah kami dan pula menjadi bukti kekuasaan Engkau. Berilah kami rezeki, sedang Engkau adalah sebaik-baik pemberi rezeki.’’




Doa dan harapan itu dikabulkan Allah. Makanan yang lazat rasanya turunlah dari langit untuk mereka santap bersama-sama, diiringi oleh turunnya wahyu Allah: ‘’Sesungguhnya Aku turunkan makanan itu kepadamu, tetapi ingat, barangsiapa yang engkar diantara kamu dikemudian hari, akan Aku seksa dengan seksaan yang belum pernah Aku seksakan kepada orang-orang yang hidup didunia ini.’’





Makanan itu segera mereka santap bersama-sama dengan sekenyang-kenyangnya, sehingga segarlah badannya, hilang rasa laparnya, serta kembalilah kekuatan mereka yang sudah penat dan lelah itu. Kejadian itu tersiar pula kemana-mana menambah imannya orang yang beriman dan menambah dengkinya musuh-musuh mereka.




Dalam pada itu kaum Bani Israel, iaitu musuh Nabi Isa dipelopori oleh pendita-pendita mereka sendiri, telah berkumpul untuk mencari daya-upaya cara bagaimana dapat menewaskan Nabi Isa dan pengikut-pengikutnya. Hadir pula dalam perhimpunan itu pembesar-pembesar negeri dan raja mereka.




Nabi Isa telah mengetahui lebih dahulu akan rencana-rencana mereka untuk membunuh Nabi Isa. Sebab itulah Nabi Isa terus mengembara menghindarkan diri dari tangkapan mereka. Dalam perhimpunan itu, tiba-tiba seorang pemuda yang tangkas mengacungkan tangan minta berbicara untuk mengemukakan pendapat dan usulnya. Pemuda itu Yahuza namanya. Kepadanya diberikan kesempatan membentangkan pandangan dan buah fikirannya.





Dengan tegas pemuda itu lalu mengusulkan, agar Nabi Isa ditangkap dan dibunuh saja. Dia sendiri telahpun mengetahui akan tempat Nabi Isa dan pengikut-pengikutnya itu bersembunyi. Dia sendiri menyanggupkan dirinya untuk menjadi ketua dalam penangkapan dan pengepungan itu.


Fikiran yang dikemukakan pemuda itu, dengan segera mendapat persetujuan dari yang hadir dengan sambutan yang meriah sekali. Tambah lagi orang ramai sudah lama tidak mendengar, di mana Isa sedang berada, tiba-tiba pemuda itu menerangkan, bahawa dia mengetahui tempat Nabi Isa. Pemuda itu mendapat pujian setinggi langit. Orang ramai datang berduyun-duyun mencium tangan pemuda itu dan menjanjikan kepadanya apa saja yang dia kehendaki, bila dia telah berhasil dapat menangkap Nabi Isa serta membunuhnya.





Raja lalu menyiapkan tentera dan bekalan, untuk dikerahkan menangkap Nabi Isa, dibawah pimpinan pemuda itu. Dalam pada itu pendita-pendita dan pembesar-pembesar negeri yang benci kepada Isa, berpropaganda kepada orang ramai untuk membenci Nabi Isa, dan menuduhnya sebagai pengacau, serta perosak agama dan negara.





Nabi Isa dan pengikut-pengikutnya telah mengetahui itu semua. Tahu bahawa tentera raja dan banyak orang telah siap mencari-cari mereka, ke mana saja mereka pergi.
Nabi Isa dan pengikut-pengikutnya, dengan sembunyi-sembunyi dan menyeludup pindah dari sebuah tempat ke lain tempat, agar tidak diketahui oleh musuh-musuhnya. Akhirnya Nabi Isa dan pengikut-pengikutnya itu terperangkap di sebuah daerah yang telah dikepung oleh musuh disekitarnya. Tidak ada jalan keluar untuk melepaskan diri dan kepungan. Tidak ada jalan lain, selain bersembunyi dibelukar yang ada dalam sebuah kebun yang luas dalam daerah kepungan itu.





Disaat yang amat kritikal, dipuncak segala krisis, tidaklah hairan kalau banyak diantara pengikut Nabi Isa a.s. yang masih kurang kuat imannya, sama mencuba menghindarkan diri dari bahaya maut. Pengikut Isa a.s. berkurang satu demi satu. Akhirnya hanya tinggal 12 orang, yang menyanggupkan diri untuk tetap bersama Isa a.s. dalam keadaan yang bagaimanapun. 




Mereka yang 12 orang inilah yang dinamai Allah di dalam al-Quran dengan al-Hawariyun, iaitu pengikut-pengikut atau sahabat-sahabat yang setia. Di saat itu Nabi Isa a.s. mulai mengeluh dan berkata: ‘’Siapakah gerangan yang akan menjadi pembelaku? ‘’ Keluhan Isa itu dijawab oleh Hawariyun tersebut dengan kata: ‘’ Kami sedia untuk membela dan bersamamu menegakkan agama Allah.’’





Tentera musuh makin dekat jua dan musuh rupanya sudah tahu, bahawa Nabi Isa dan pengikut-pengikutnya berada di tempat itu. Ketika itulah pengikut-pengikut Nabi Isa mendapat ujian yang sebesar-besarnya. Terbuktilah, bahawa diantara pengikutnya ada yang tidak tahan, ada juga yang teguh imannya. Seorang demi seorang para pengikutnya meninggalkan Isa, lalu meminta perlindungan dari musuh. Mereka lari dengan tidak minta izin dan tidak memberitahu lebih dahulu kepada Isa. Lupalah mereka ketika itu akan pemimpin besar yang selama ini mereka puja dan ikutinya.





Akhirnya salah seorang dari pengikut beliau telah lari dan belot,  dan lebih teruk dia telah menunjukkan tempat bersembunyinya Nabi Isa kepada musuh-musuh itu. Kepungan menjadi semakin hampir, kerana sudah nyata dimana tempat Nabi Isa bersembunyi. Dengan diketuai oleh pemuda Yahuza, musuh makin menghampiri kepungan mereka.





Sebagai ketua, Yahuza lalu menyerbu masuk sendirian ke dalam belukar dimana Nabi Isa sedang bersembunyi. Dia ingin menangkap Nabi Isa dengan tangannya sendiri. Baru saja pemuda itu menyerbu ke tempat persembunyian Nabi Isa, Tuhan memperlihatkan kekuasaanNya. Mata musuh tidak dapat melihat Nabi Isa, sedang pemuda Yahuza yang telah menyerbu sendirian itu, diubah Allah mukanya menjadi serupa dengan muka Nabi Isa.






Tepat disaat itu tentera musuh menyerbu masuk, mereka melihat Yahuza yang berbentuk Nabi Isa itu segera ditangkapnya serta dipukulnya, lalu mereka gantung ditiang berupa salib. Ditiang salib itulah orang tangkapan yang mereka sangka Nabi Isa itu, mereka pakukan, lalu dilemparkan dengan batu, serta dipukul dengan kayu, sehingga darah tertumpah sebanyak-banyaknya. Akhirnya matilah Yahuza di tiang salib itu.





Nabi Isa yang sebenar terlepas dari tangkapan itu, akan tetapi orang ramai dan musuh tidak mengetahuinya. Kepada Nabi Muhammad diwahyukan Allah apa yang sebenarnya terjadi di saat itu.
Firman Allah di dalam al-Quran:
Kata mereka, mereka telah membunuh al-Masihi Isa Anak Mariam, seorang yang menjadi Rasul Allah. Yang sebenarnya mereka tidaklah membunuh Nabi Isa dan pula menyalibkannya, tetapi telah menyalibkan seorang lain yang diserupakan Allah dengan rupa Nabi Isa. Orang-orang yang berselisihan tentang Nabi Isa ini, yang sebenarnya masih dalam keraguan, bukanlah dengan pengetahuan yang yakin, hanya dengan menduga belaka. Bukanlah mereka telah membunuh Nabi Isa yang sebenarnya. Allah telah mengangkatkan Nabi Isa kepadaNya, Allah itu Maha Agung dan Maha Bijaksana.






Dan firmanNya lagi:
Mereka (orang-orang kafir) membuat rencana (untuk membunuh Nabi Isa), sedang Allah juga membuat rancangan (untuk menghindarkan Nabi Isa dari dibunuh), akhirnya rencana Allah jugalah yang terjadi, kerana Allah adalah sebijak-bijak perencana.




Ingatlah tatkala Allah bersabda: ‘’ Hai Isa, Aku akan ambil kamu, dan akan angkatkan kamu kepadaKu, dan akan membersihkan kamu dari (tangan-tangan) orang-orang yang kafir itu dan akan jadikan orang-orang yang mengikut kamu itu diatas orang-orang yang kafir itu sampai hari kiamat dan kemudian kepadaKu jualah tempat kembali kamu. Nanti Aku akan tetapkan keputusan tentang segala perkara yang kamu perselisihkan.’’




Selain ayat-ayat yang tersebut diatas ini, ada banyak lagi ayat-ayat didalam Kitab Suci al-Quran yang menerangkan bahawa Allah telah angkat Nabi Isa kepadaNya dan bahawa Allah akan turunkan Nabi Isa kembali untuk diimani oleh semua ahli Kitab. Di samping ayat-ayat al-Quran, tidak sedikit jumlah Hadis-hadis yang sahih menerangkan bahawa Isa akan turun kembali.




Dengan alasan-alasan tersebut, maka ijmak sekalian Sahabat, Tabiin dan Mujtahidin, bahawa Isa masih hidup dan akan turun.


Firman Allah dalam al-Quran, surah Ali-Imran 55:
(Ingatlah) tatkala Allah berfirman: Hai Isa, sesungguhnya Aku (Allah) akan mengambil engkau dan akan mengangkat engkau kepadaKu serta akan membersihkan engkau dari mereka yang kafir itu.
Perkataan Allah Aku ambil dan Aku angkat engkau kepadaKu dalam ayat tersebut di atas, diulangi Allah lagi dalam ayat-ayat lainnya, dan beberapa Hadis Sahih yang menerangkan bahawa Isa a.s. akan diturunkan kembali, menjadikan para Sahabat, Tabiin dan Mujtahidin sepakat mengatakan bahawa Nabi Isa masih hidup di langit, dan suatu waktu nanti akan turun lagi ke bumi.





PENGIKUT-PENGIKUT ISA AL-MASIH (PEMBANTU YANG SETIA)




Iman al-Kisaie (Abu Bakar Muhammad bin Abdullah) yang hidup dalam abad ke 11 Masihi, dan menulis kitab Qisasul Anbiya, bahawa Nabi Isa a.s. pernah menjumpai suatu kelompok manusia yang sedang menangkap ikan. Nabi Isa lalu memberikan pelajaran kepada mereka, agar mereka jangan hanya hidup untuk didunia ini saja. Diterangkannya pula kepada mereka tentang kehidupan diakhirat dengan Syurganya, dan ajaran-ajaran serta kepercayaan lainnya. Akhirnya empat orang dari kaum penangkap ikan ini beriman kepada Isa a.s. dan menjadi pengikutnya. Mereka itu ialah Syimun dan saudara lelakinya yang bernama Andirius, Yaqub dan Yuhanna.




Kemudian Nabi Isa a.s. melalui pula suatu kelompok manusia yang sedang mencuci pakaian mereka disungai. Nabi Isa berkata kepada mereka: ‘’Hai kaum, kamu mencuci pakaian itu dan membersihkannya dan kotoran-kotoran yang melekat padanya. Apakah kamu tidak mahu membersihkan hatimu itu? ‘’ Mereka pun beriman dan menjadi pengikut Isa a.s. Mereka adalah: Lukas, Thomas, Markus dan Yuhanna dan beberapa saudara mereka yang masih kecil, di antaranya juga yang bernama Syimun dan Yaqub.





Mereka itu semualah yang menjadi pengikut-pengikut yang setia dan yang disebut Hawariyun dalam al-Quran menurut al-Kisaie. Mereka semua berjumlah 12 orang. Akhirnya datang pula seorang lainnya yang bernama Judas, yang belum pernah mendengarkan akan perkataan-perkataan atau ajaran Isa a.s., tetapi turut beriman kerana ajakan orang-orang yang telah beriman lebih dahulu. Hanya setelah Isa dan pengikutnya mengalami pengepungan yang amat kritikal sebagai yang telah diterangkan sebelum ini, Judas ini murtad, menyeleweng, meninggalkan Isa dan pengikut-pengikutnya lalu mengkhianati Isa a.s dengan memberitahukan tempat persembunyian Nabi Isa kepada musuh-musuhnya, iaitu orang-orang Yahudi, sehingga mereka menyerbu tempat persembunyian itu.





Menurut sejarah, Nabi Isa diangkat Allah menjadi Nabi dan Rasul dalam umur 30 tahun. Setelah menyiarkan ajarannya selama tiga tahun atau lima tahun, terjadilah pengepungan, yang menurut kaum Nasrani, Isa ditangkap dan disalib.




Jadi Nabi Isa menyebarkan ajarannya itu hanya dalam waktu tiga atau lima tahun saja, kerana selalu diancam oleh orang Yahudi untuk dibunuh, sehingga membuatkan Nabi Isa selalu berpindah-randah tempat untuk menghindari penangkapan atau pembunuhan terhadap diri beliau. Kerana keadaan yang demikian itu, pengikut-pengikutnya tidak banyak, dan pelajaran yang disampaikannya pun tidak teratur, serta orang-orang yang menerima pelajaran dari beliau itu berbagai-bagai peringkat kecerdasannya dan  berbagai-bagai pula tempoh masa masing-masing bergaul dengan Isa al-Masih a.s.




Sesudah Nabi Isa as. diangkat Allah ke langit, maka hanya tinggal para pengikut yang setia ini sajalah, yang dengan sekadar ilmu yang ada pada masing-masing mereka, mereka ajarkan ajaran Isa al-Masih a.s. itu sebagai penyambung risalah kerasulan meski dalam keadaan bersembunyi, tidak aman dan tidak bebas.




BERMULANYA FAHAMAN TRINITI (TUHAN BERTIGA)




Diantara mereka, ada pula yang menuliskan apa yang mereka ketahui itu. Dan dari tulisan-tulisan mereka inilah nantinya yang dijadikan Kitab Suci yang mereka namai Injil. Masing-masing Injil itu mereka namai dengan nama penulisnya. Di antaranya ada Injil Mathius, Injil Yuhanna, Injil Lukas, Injil Barnaba dan banyak lagi Injil-injil yang lainnya. 




Semestinya Injil-injil itu tidak sama antara satu sama lain, sebab ia merupakan catatan dari pencatat yang berlainan, selama mereka bergaul dengan Nabi Isa, atau semata-mata hanya khabar atau cerita yang sampai kepada mereka saja tentang Nabi Isa a.s. Sebab tidak semua penulis Injil itu adalah Sahabat (Hawari), malah banyak pula penulis-penulis Injil yang tidak pernah bertemu sama sekali dengan Isa, bahkan tidak pula dengan para Sahabat atau Hawari.




Tidak hairanlah kalau beberapa abad kemudian, ajaran yang diajarkan mereka menjadi bersimpang-siur, menjadikan mereka berpecah-belah tentang kepercayaan. Ada diantara mereka yang mengatakan bahawa Isa al-Masih a.s. adalah sebagai Nabi dan Rasul sebagaimana juga Nabi-nabi dan Rasul-rasul yang datang sebelumnya. Tetapi ada pula diantara mereka yang melebihkannya kerana Isa tidak punya bapa, menganggap Isa sebagai anak Allah. Juga tentang ibunya yang bernama Mariam dan Malaikat Jibril (Ruhul Kudus) yang mendatangi Mariam. 





Bahkan timbul kepercayaan yang mengatakan bahawa Isa adalah Allah yang menjelma menjadi anak manusia melalui perut seorang wanita suci iaitu ibunya, Mariam. Bahkan timbul lagi kepercayaan bahawa Malaikat Ruhul Kudus yang menyampaikan berita kelahiran Isa kepada Mariam itupun adalah Allah.




 Akhirnya timbullah kepercayaan Trinitas; iaitu Allah Bapa, Allah Putra dan Allah Ruhul Kudus. Oleh orang-orang yang datang kemudian ditafsirkan bahawa Allah Bapa itu Tuhan 100%, Allah Putra, iaitu Jesus (Isa) itu Tuhan 100% dan Allah Ruhul Kudus (Malaikat Jibril) adalah Tuhan 100% . Bahkan ada yang mempercayai bahawa Mariam ibunya, adalah Tuhan pula, sebab ia melahirkan Tuhan iaitu Tuhan Jesus. 





Kekacauan yang menimpa pengikut-pengikut Isa al-Masih a.s. itu menimbulkan kekacauan yang menyebabkan pertumpahan darah yang terus-menerus dalam waktu berabad-abad lamanya dikalangan mereka. Sehingga manusia berada kembali dalam kegelapan, iaitu kegelapan kepercayaan.




Untuk melenyapkan kegelapan itulah akhirnya diutus Allah Nabi dan Rasul terakhir, iaitu Muhammad s.a.w. dengan membawa Kitab Suci al-Quran, untuk membetulkan semua kitab yang salah, yang dianggap orang Kitab-kitab Suci, yang ada tersebar sebelum lahirnya Nabi Muhammad s.a.w.




Diantara ayat-ayat al-Quran yang ada hubungannya dengan kepercayaan-kepercayaan orang yang mengaku pengikut Nabi Isa a.s. berbunyi sebagai berikut (ertinya): Berkata Isa: ‘’Sesungguhnya aku ini adalah hamba Allah. Allah beri kepadaku Kitab, dan Allah menjadikan aku Nabi. Allah jadikan aku orang yang berbakti dimana saja aku berada. Allah wajibkan kepadaku mendirikan sembahyang, dan mengeluarkan zakat selama aku hidup. Allah jadikan aku berbakti terhadap ibuku, dan Allah tidak jadikan aku menjadi orang sombong dan celaka. Dan keselamatan tercurah atasku pada hari aku dilahirkan, serta pada hari matiku, dan pada hari aku dibangkitkan hidup diakhirat nanti.’’





 Ya itulah Isa anak Mariam. Allah firmankan perkataan-perkataan yang penuh berisi kebenaran, kerana banyak manusia yang berselisih tentang dia dan ragu-ragu. Tidaklah layak bagi Allah mempunyai anak. Maha Suci Ia. Bila Ia menghendaki sesuatu, Ia hanya berkata: Jadilah, maka terjadilah sesuatu yang dikehendakiNya itu. (Berkata Isa): ‘’Sesungguhnya Allah adalah Tuhanku dan Tuhan kamu, maka sembahlah Ia (Allah saja), inilah jalan yang lurus (benar). Maka timbullah perselisihan diantara golongan manusia. Maka celaka besarlah orang-orang kafir dihari yang amat hebat nanti. Dihari itu mereka akan datang kepada Kami, dan alangkah terangnya mereka dapat mendengar dan melihat dihari itu. Tetapi orang-orang zalim yang hidup sekarang ini tetap dalam kesesatan yang nyata. Dan ancamlah mereka (Hai, Muhammad) dengan kepastiannya hari yang penuh dengan dukacita itu, iaitu tatkala sudah diputuskan segala perkara. Mereka tetap lalai dan tidak mahu percaya. Sesungguhnya Kamilah yang memiliki bumi dan apa-apa yang terdapat diatasnya. Dan akhirnya kepada Kami jualah mereka itu akan kembali.’’
(Mariam: 3040)




‘’Dan ingatlah ketika Isa Anak Maryam berkata: Hai, Bani Israel, sesungguhnya aku ini Rasul Allah yang diutus kepada kamu, membenarkan apa yang dihadapanku (iaitu Kitab Taurat) dan memberi khabar gembira akan kedatangannya seorang Rasul sesudahku namanya Ahmad (iaitu Muhammad). Tetapi tatkala Rasul itu datang kepada mereka membawa keterangan, mereka berkata: Ini adalah sihir semata." (as-Saff: 6)





‘’Hai, Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani), sungguh sudah datang kepadamu Rasul Kami (Nabi Muhammad) menerangkan banyak perkara yang kamu (nenek-moyangmu) sembunyikan dan isi al-Kitab (Taurat dan Injil) dan banyak pula yang kamu hapuskan (kerana memberatkan kamu) sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya yang terang dan Kitab Suci (al-Quran dan Allah).’’(al-Maidah: 5)





‘’Hai, Ahli Kitab, janganlah kamu melampaui batas dalam agamamu. Janganlah kamu berkata tentang Allah selain perkataan yang benar. Sesungguhnya ia Anak Mariam itu adalah Rasul Allah dan (kejadian Isa itu adalah disebabkan) kalimahNya, yang diletakkan pada Mariam (untuk menghamilkannya) bersama roh daripadaNya. Berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Janganlah kamu katakan Allah itu bertiga (Trinitas). Berhentilah kamu dan perkataan yang demikian, itu lebih baik bagimu. Sesungguhnya Allah hanya Satu (Maha Tunggal). Maha Suci Ia daripada mempunyai anak. KepunyaanNyalah apa saja yang ada dilangit dan apa yang ada di bumi. Dan cukuplah Allah itu saja sebagai Pelindung (Saksi). ‘’(an-Nisa: 171)



KONKLUSI NASIHAT DAN PEDOMAN





‘’Berkata orang-orang Yahudi: Uzair anak Allah. Dan berkata orang-orang Nasrani: Isa al-Masihi anak Allah. Yang demikian itu adalah omongan mereka dengan mulut mereka, menyerupai perkataan orang-orang kafir yang dahulu, yang telah dibinasakan oleh Allah. Hairan mengapa mereka dipalingkan begitu rupa. Mereka menjadikan guru-guru dan pendita-pendita mereka sebagai Tuhan selain Allah. Dan begitu juga terhadap Isa Al-Masihi Anak Mariam. Padahal mereka tidak diperintah selain untuk menyembah Allah yang Maha Esa, yang tiada Tuhan selain Dia. Maha Suci Ia dan apa-apa yang mereka sekutukan.’’(at-Taubah: 3031)





Dari kitab Bible :
“Setelah Yesus tiba di daerah Kaisara Filipi, Ia bertanya kepada murid-murid-Nya : “Kata orang, siapakah Anak Manusia itu?” Jawab mereka: “Ada yang mengatakan Yohanes Pembabtis, ada juga yang mengatakan: Elia dan ada pula yang mengatakan Yeremia atau salah satu nabi.” Lalu Yesus bertanya kepada mereka : “Tetapi apa katamu, siapa Aku ini?” Maka jawab Simon Petrus: “Engkau adalah Mesias (Al-Masih), Anak Allah yang hidup!” Kata Yesus kepadanya: “Berbahagialah engkau Simon bin Yunus sebab bukan manusia yang menyatakan itu kepadamu, melainkan Bapa-Ku yang di syurga.”




Dalam dialog antara Yesus dengan murid-muridnya tersebut, tidak sekalipun Yesus mengaku diri sebagai Tuhan. 12 orang murid tersebut adalah orang yang paling rapat dengan Yesus. Jika Yesus itu Tuhan, tentu mereka itulah yang pertama mengetahui hal tersebut. Ketika  Yesus bertanya: “Siapakah aku ini?” tidak seorang pun dari mereka yang mengatakan bahwa Yesus adalah Tuhan. Lalu mereka menjawab “Engkau adalah Mesias anak Allah yang hidup.” Jawapan mereka dibenarkan oleh Yesus. Kerana kata Yesus, jawapan itu berasal dari Bapa-Ku (Allah-Ku) yang berada di syurga. 



 Dalam teologi bangsa Israel, mereka adalah anak-anak Allah (hamba-hamba Allah) sebagaimana ayat-ayat Perjanjian Lama yang berikut :
“Maka engkau (Musa) harus berkata kepada Firaun : Beginilah firman Tuhan : Israel ialah anak-Ku, anak-Ku yang sulung; sebab iu Aku berfirman kepadamu: Biarkanlah anak-Ku itu pergi, supaya ia beribadah kepada-Ku; tetapi jika engkau menolak membiarkannya pergi, maka Aku akan membunuh anakmu, anakmu yang sulung.” (Keluaran 4:22-23).





Yesus adalah keturunan Israel, sehingga dia mengakui sebagai anak Allah (hamba Allah).
Dari dialog tersebut dapat disimpulkan bahawa :

    ·         Setiap Mesias (pilihan Tuhan), bukanlah Tuhan.
    ·         Yesus mengaku sebagai Mesias (pilihan Tuhan)
    ·         Maknanya Yesus bukan Tuhan.



Kita juga dapat mengambil kesimpulan dari istilah “Anak Tuhan” bahawa :
    ·         Setiap anak Tuhan (hamba Tuhan) bukanlah Tuhan.
    ·         Yesus mengaku sebagai anak Tuhan (hamba Tuhan)
    ·         Maknanya Yesus bukan Tuhan.





Berbalik kepada maksud turunnya Isa itu adalah untuk menerangkan kepada orang-orang yang mengaku mengikuti pelajaran Nabi Isa, tetapi telah membelok dari ajaran Nabi Isa yang sebenarnya. Lebih-lebih untuk menegaskan kepada mereka bahawa Isa tidak pernah mengajarkan bahawa dia adalah Tuhan atau anak Tuhan dan untuk menegaskan kepada ummat manusia, bahawa Muhammad s.a.w. adalah Rasul Allah yang terakhir yang harus diimani dan diikuti dan bahawa al-Quran al-Karim adalah Kitab Suci yang mencakupi seluruh Kitab-kitab Suci yang sebelumnya dan bahawa Islam adalah ajaran semua Nabi dan Rasul yang pernah diutus Tuhan ke permukaan bumi ini.





Dengan alasan yang tersebut diatas inilah, maka ummat Islam percaya, bahawa Nabi Isa a.s. tidaklah mati terbunuh ditiang salib sebagai kepercayaan ummat Nasrani sekarang ini. Kerana selain ayat-ayat al-Quran yang amat jelas tersebut diatas itu, tidak mungkin menurut kepercayaan setiap orang Islam, seorang Nabi dan Rasul Allah yang begitu benar dan mulianya, akan dapat ditangkap, serta dibunuh dengan pembunuhan kejam, di luar penkemanusiaan itu.




Allah yang Maha Kuasa pasti telah dapat menyelamatkan Nabi dan RasulNya yang bernama Isa al-Masih, dan perlakuan yang tidak sewajarnya ini.



Kalau ummat Islam dan ummat Nasrani berlainan kepercayaan tentang kedua masalah ini (iaitu tentang ketuhanan Isa dan tersalibnya Isa) ummat Islam tidak diperbolehkan bertengkar dan berdebat dengan ummat Nasrani tentang masalah ini. Kerana masalah ini seratus peratus masalah ghaib, yang tidak mungkin dapat diselesaikan dengan bertengkar dan berdebat.





Dengan ayat-ayat yang tersebut diatas, ummat Islam menunggu sampai datang saatnya nanti di hari kiamat, di alam akhirat, dimana Allah akan menetapkan putusan tentang masalah yang sedang diperselisihkan sekarang ini, antara ummat Islam, ummat Nasrani dan ummat Yahudi.
Marilah kita sama menunggu saat yang dijanjikan Allah itu dengan sabar dan menjauhkan diri dari sengketa, berjalan dan hidup dengan kepercayaan masing-masing.




Tetapi bila perdebatan mengenai masalah-masalah yang diperselisihkan itu dapat dijamin akan berjalan secara baik, dijamin tidak akan membangkitkan nafsu-nafsu yang tidak dapat dikendalikan, maka setiap saat ummat Islam diperbolehkan menghadapinya.




Firman Allah dalam al-Quran:
Serulah manusia kejalan Allah dengan bijaksana dan nasihat-nasihat yang baik dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmulah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang sesat dari jalanNya dan Ialah pula yang lebih tahu akan orang-orang yang benar (mendapat petunjuk). Dan jika kamu terpaksa harus membalas seksaan, maka balaslah dengan pembalasan yang sebanding dengan apa yang telah mereka seksakan kepadamu. Dan jika kamu sabar (tidak membalas) maka itulah yang lebih baik, bagi orang-orang yang sabar. Dan sabarlah engkau dan tidaklah engkau dapat bersabar, kalau bukan kerana Allah. Dan janganlah engkau berdukacita terhadap mereka dan janganlah engkau berkecil hati lantaran tipu daya mereka. Sesungguhnya Allah beserta dengan orang yang taqwa dan orang yang berbuat kebaikan.
(an-Nahal: 125-129)

Comments
0 Comments

0 Komentar:

Post a Comment